Saturday 5 October 2013

Kembalinya Kerahmatullah Bonda Tercinta pada 25 September 2013

Assalamualaikum,


          Kami sekeluarga dan adik beradik dapat berbual dengan bonda tercinta pada minggu hari raya idul fitri yang lalu. Saya dan keluarga berkesempatan balik ke rumah abang di Kluang, Johor pada hari raya keempat dan kelima iaitu 11 dan 12 Ogos lalu untuk menziarah bonda tercinta. Walaupun balik ke Kluang, Johor bukan giliran yang sepatutnya, tetapi hati dan fikiran saya dan keluarga terpanggil untuk balik juga. Maklumlah kami ini 2 negeri, Saya orang Johor, Isteri orang Perak. Rupanya allah maha kuasa dan mengetahui, digerakkan hati untuk menemui bonda tercinta. Pada  minggu-minggu berikutnya, bonda tercinta sudah tidak boleh bercakap dan pergerakannya terbatas hanya terbaring sahaja.

          Pada 31 Ogos yang lalu saya sekali lagi balik dengan keluarga untuk menziarah bonda tercinta. Keadaannya terlalu lemah dan apabila dipanggil namanya, terlalu kurang responnya. Kami sekeluarga hanya dapat mendoakan kesihatannya bertambah baik dan berserah kepada allah akan apa yang berlaku, kami reda dengan ketentuannya.

        Pada 24 September 2013, saya bertugas di Kuching, Sarawak dan sepatutnya balik pada 26 September. Sementara isteri pula bertugas diluar negara iaitu Ottawa dan Vancuber di Kanada, telah bertolak pada 13 September dan dijangka balik pada subuh ahad 29 September. Walaupun abang telah memaklumkan bahawa bonda terlalu kurang sihat, demi tugas, saya terpaksa juga ke Kuching.

          Lebih kurang jam 4.10 minit petang 25 September, saya menerima panggilan telefon daripada anak saudara memaklumkan bonda tercinta telah menghembuskan nafas terakhirnya tepat waktu asar dimana azan berkumandang. Saya bergegas balik ke Kuala Lumpur dengan penerbangan jam 5.45 petang. Sesampainya ke Kuala Lumpur, saya dan anak-anaktanpa isteri disisi bergegas balik ke rumah abang di Kluang dan sampai pada jam 2.30 pagi.

          Sekujur tubuh yang kaku terbaring diruang tamu. Saya dan anak-anak membuka kain penutup mayat bonda untuk ditatapi sambil sedekahkan pahla fatihah keatasnya dan terus membaca surah yassin serta pahlannya juga saya sedekahkan keatasnya. Kembalinya bonda tercinta kerahmatullah dalam usia 94 tahun 11 bulan dan 25 hari. Kami puas bersamanya terutama abang yang menjaga bonda dirumahnya sejak kematian ayahanda 7 tahun yang lalu. Bonda mempunyai anak seramai 3 orang, 11 cucu dan 4 cicit.

         Jam 9.00 pagi selepas di sembahyangkan di Mesjid Taman Perumahan Sri Kluang dimana kediaman bonda bersama abang, jenazah dibawa ketanah perkuburan di kampung Sri Lalang dimana jenazah ayahanda dikebumikan. Alhamdulilah, syukur, jenazah ibunda dapat disemadikan bersebelahan dengan kubur ayahanda. Al fatihah untuk kedua ayahanda dan bonda, ameen.








Wassalam.